Rumah hangus di jilat api, 2 murid nyaris maut (Video)

0
49

Kuala Terengganu – Dua kanak-kanak terselamat dari rentung apabila bertindak pantas keluar daripada rumah selepas rumah datuk mereka di Kampung Gong Benjok, Gong Pauh di sini, mula terbakar petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, tiada apa yang dapat diselamatkan kerana api yang marak dengan cepat memusnahkan keseluruhan struktur rumah kayu empat bilik berusia kira-kira 34 tahun itu.

Saksi kejadian, Azizah Mahmood, 53, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu apabila dua cucu bapa saudaranya, Mahmud Salleh, 62, iaitu Muhammad Darwishah Abdul Halim, 9, dan Hanis Mardhiana, 11, berlari mendapatkannya di dapur.

“Saya sedang buat persiapan memasak (untuk berbuka), mereka berdua berlari sambil menjerit dan dalam keadaan menangis serta ketakutan. Apabila saya tanya, mereka beritahu ada asap di rumah datuk mereka.

“Saya kemudiannya keluar melihat ruang hadapan rumah, namun keadaan rumah itu sudah dipenuhi asap. Dalam keadaan kelam kabut itulah saya minta tolong jiran selamatkan motosikal malah kereta dialihkan,” katanya.

Penduduk yang membantu, Mohd Sukri Awang, 44, berkata, dia cuba untuk masuk ke ruang hadapan rumah sedang terbakar itu kerana hanya pintu depan tidak berkunci untuk menyelamatkan barang-barang yang boleh diselamatkan.

“Tetapi asap terlalu tebal dan api marak dengan cepat. Saya hanya sempat mengalihkan kereta dan motosikal sambil dibantu beberapa lagi jiran yang lain,” katanya.

Sementara itu, pemilik rumah, Mahmud Salleh, 62, yang ketika kejadian tiada di rumah berkata, dia menanggung kerugian kira-kira RM120,000 termasuk barang kemas isteri dan anak serta wang tunai RM3,000 untuk kegunaan hari raya hangus.

“Saya bersama isteri (Che Hamidah Abdul Hamid, 61) ke Kuala Terengganu bagi urusan konvokesyen anak bongsu di kolej komuniti. Saya hanya tahu selepas dimaklumkan anak saudara (Azizah Mahmood) tentang kebakaran yang berlaku.

“Apabila sampai di rumah, tiada apa yang dapat diselamatkan. Tetapi saya bersyukur, dua cucu saya selamat, Mereka sebelum kejadian dihantar ke rumah itu selepas habis sekolah,” katanya.

Beliau berkata, pintu hadapan rumah itu tidak berkunci membolehkan dua cucunya itu masuk ke rumah kerana pada hari kejadian anak-anaknya mahu berbuka bersama dan mahu ke rumah itu lebih awal bagi membuat persediaan berbuka.

Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada lintar pintas itu juga dipercayai bermula di ruang solat di ruang tamu rumah sehingga membolehkan dua cucu mangsa menyedarinya lebih awal dan kemudiannya segera turun dari rumah berkenaan.

Kedudukan rumah rapat di kawasan itu membolehkan dua kanak-kanak itu mendapatkan bantuan dengan cepat namun kebakaran tidak dapat dipadamkan kerana ia marak dengan cepat malah hanya mengambil masa 10 minit untuk memusnahkannya.

Mahmud berkata, tiada apa yang tinggal dan beliau turut terkilan kerana semua bahan-bahan bagi kertas cadangan projek untuk menyambung Sarjana di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tersimpan dalam komputer turut musnah.

Beliau bagaimanapun reda dengan ketentuan ALLAH itu namun tidak menafikan terkesan dengan kejadian itu kerana hilang tempat tinggal dan bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam 1301 70204 5123 6.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu yang juga Pegawai Operasi, Che Shaari Abdullah, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.31 petang.

Katanya, seramai 15 bomba sukarelawan dari BBP Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota dan BBP Kuala Nerus (Balai Bantuan) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dan terbakar 100 peratus. Namun, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan. Jumlah kerugian dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini