Lelaki bawa kucing balik kampung naik motor

0
133

Apalah raya sekiranya tidak disambut bersama yang tersayang. Begitu juga bagi Ahmad Mukhriz Shah Ahmad Kamal yang sanggup berulang-alik Shah Alam – Ipoh sebanyak dua kali bagi membawa pulang dua kucing kesayangannya ke kampung halaman.

Dikenali sebagai Shah White dalam kalangan pencinta kucing di Malaysia, Shah sebelum ini mencetuskan kontroversi membawa kucing menaiki motosikal dengan hanya berpaut pada beg sandangnya, meredah lebuhraya.

Jelas Shah, ‘anak bulusnya’ itu sudah terbiasa dengan kaedah perjalanan sedemikian dan sangat tertib berpaut pada begnya sepanjang waktu diatas motosikal.

Dan baru-baru ini, Shah sekali lagi mendapat tempat di media sosial apabila beliau sekali lagi mengulangi ‘stunt’ berkenaan, kali ini didapati bersama kucing berbeza.

Memetik Harian Metro, beliau dan kucing berkenaan dikenali sebagai ‘Twiny’ dirakam salah seorang pengguna media sosial sewaktu mereka dalam perjalanan ke Ipoh.

“Twiny memang suka naik motor duduk di atas bahu saya, kalau letak di bakul motor dia akan lari ke belakang saya semula,” cerita Shah dipetik Harian Metro.

Twiny kini berusia tujuh bulan mempunyai abang bernama Tony, juga gemar menaiki motosikal.

Ujar Shah, ketika aksinya membawa Twiny dirakam, ianya merupakan ‘trip’ pertama bagi membawa kucing kesayangannya itu pulang dan hari ini beliau akan kembali ke Shah Alam bagi menjemput Tony pula.

“Saya tidak kisah berulang alik, asalkan mereka ada bersama saya kerana di Shah Alam hanya kami bertiga di dalam sebuah rumah, bagaikan satu keluarga,” katanya.

Tambah beliau lagi, kedua-dua kucing ini amat manja sehingga makan pun perlu disuap ke mulut.

“Kalau saya tak suap, dia tak mahu makan. Memang manja sehinggakan buang air pun perlu berteman.

“Begitu juga dengan abangnya, Tony. Kedua-duanya sangat manja dan suka naik motor dalam keadaan duduk diam di belakang saya,” katanya.

Aksi Twiny berpaut di bahu Shah menjadi viral menerusi laman Facebook Kelab Pencinta Kucing Malaysia dan ramai yang memuji Shah melayan kucingnya seperti ahli keluarga biasa namun menggesa agar Shah mengutamakan keselamatan kucingnya itu sewaktu menempuhi perjalanan di lebuhraya.

“Alhamdulillah.. Balik KL nanti letak dalam backpack kucing ye. Biar la dia nak ngamuk pun dalam tu, kejap je ngamuk pun, asalkan terjamin keselamatan cik meow,” kata Khazian Kassim.

“Demi keselamatan meow belilah beg utk meow jika sayangkan dia ye dik…akak jugak bimbang meow jadi apa-apa on the way tu,” ujar Rohana Ana.

“Terbaik bro….tapo ngeri tengok..takut jatuh…cer (cuba) beli beg letak kucing tu..rase safety skit..comel je dia,” kata Noraiza Ibrahim.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini