Abdullah Maute Antara 18 Individu Dikehendaki Esscom

0
15

Lahad Datu – Ketua Kumpulan Abu Sayyaf dan Daesh di selatan Filipina, Isnilon Hapilon serta Ketua Kumpulan Militan Maute di Marawi, Abdullah Maute merupakan antara 18 individu dikehendaki pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kerana dipercayai terlibat dalam jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Isnilon dan Abdullah yang tersenarai dalam individu dikehendaki Esscom kerana dikhuatiri melarikan diri ke negara ini melalui Sabah ekoran tindakan pasukan tentera Filipina yang melakukan serangan ke atas pemberontak Maute di Marawi.

Selain dua ketua kumpulan militan itu, antara yang turut dikehendaki Esscom ialah Hatib Hajan, Indang Susukan, Raden Abuh, Alden Badge, Badong Muktadil, Halipa Ibrahim, Marajan Asin serta Arrah Saminddih.

Komander Esscom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kesemua 18 individu terbabit dipercayai terlibat selain mampu menyelesaikan isu jenayah rentas sempadan yang berlaku di pantai timur Sabah tahun lalu.

“Setelah disiasat termasuk mendapatkan maklumat dari pasukan keselamatan Filipina, senarai 18 individu yang dikehendaki ini disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah rentas sempadan dan belum ditahan sama ada oleh pasukan keselamatan negara mahupun Filipina,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Abdul Bari turut menjelaskan, ekoran tindakan pasukan ketenteraan menyerbu kubu kumpulan Militan Maute di Marawi, pihaknya menjalankan pemantauan rapi bagi mengelak kemasukan ketua dan ahli kumpulan militan tersebut ke Sabah.

Katanya, pihaknya khuatir sekiranya ahli kumpulan militan itu menyamar sebagai nelayan atau pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sehubungan itu, saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu yang disenaraikan diminta menghubungi Bilik Gerakan Esscom di talian 089-863181 atau meninggalkan pesanan di aplikasi Whatsapp ke 0138803585 dan 0192305909 atau melaporkan kepada balai polis berhampiran,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini