Kak Bam Cukup Istimewa Di Hati Artis

0
39

PEMERGIAN bekas wartawan hiburan tanahair, Bahyah Mahmod atau lebih dikenali sebagai Kak Bam akibat kanser hempedu pada pagi selasa diratapi anak-anak seni terutamanya mereka yang pernah muncul di era 60-an sehingga 80-an.

Bagi mereka, pemergian Kak Bam adalah satu kehilangan besar sebagai individu yang banyak menyokong kerjaya seni mereka.

Bam ibarat kakak kepada artis-artis. Dia dijadikan tempat mengadu suka dan duka sementelah suaminya, Ahmad Idris juga seorang wartawan.

Rumah pasangan ini di Jalan Enggang, Keramat Kuala Lumpur menjadi lokasi persinggahan rakan artis sebagai tempat untuk ketawa dan mengesat air mata.

Bam satu-satunya wartawan yang berpeluang melihat jenazah Allahyarham Sudirman di saat-saat akhir hayat bintang itu atas dasar hubungan rapatnya dengan keluarga Sudir.

Mstar Online menembual beberapa rakan artis antaranya Datuk Sarimah, Datuk Yusof Haslam, Datuk Nassier Wahab, Aspalela Abdulllah dan Ali Bakar berkongsi kenangan mereka bersama arwah.

Primadona Sarimah Ahmad

Primadona Datuk Sarimah Ahmad menganggap Bam sebagai sahabat dan saudara yang dapat berkongsi rasa suka dan duka

“Di mata saya, beliau seorang yang hebat. Kak Bam bukan sekadar teman, sahabat tetapi kami dah macam saudara. Selama bergelar anak seni, dialah tempat saya berkongsi masalah dan perasaan. Dan saya percaya, bukan saya seorang tetapi artis-artis lain juga.

“Biarpun arwah dikenali antara wartawan berpengaruh di zamannya, tetapi beliau tidak pernah mensensasikan segala rahsia saya sedangkan ia boleh dijadikan paparan eksklusif kalau dia mahu. Rumahnya adalah tempat kami bercerita dan dia seorang yang cukup mengalu-alukan tetamu.

“Arwah pernah menyuarakan kepada saya untuk menerbitkan sebuah buku biografi saya, namun hajat tersebut tidak kesampaian. Tak apalah, jasa beliau sudah banyak saya kenang, Allah lebih menyayangi Kak Bam,” kata Sarimah.

Produser Datuk Yusof Haslam

“Satu perjalanan panjang saya kira. Terlalu banyak jasa arwah dalam menaikkan nama anak-anak seni dari segi memberi publisiti termasuk diri saya sendiri.

“Saya mengenali Kak Bam pada usia 18 tahun dari seorang pelakon pembantu sehinggalah bergelar penerbit filem.

“Saya dah anggap arwah seperti seorang kakak dan rumah dia di Keramat ini umpama rumah kedua saya dan beberapa rakan artis lain antaranya DJ Dave, Hail Amir, Uji Rashid, Latiff Ibrahim dan Sudirman.

“Pada zaman itu adalah era media konvesional dan saya harus akui perkara ini yang membuatkan hubungan antara artis dan media sangat rapat. Apa yang pernah dilakukan oleh arwah Kak Bam dalam menjalin hubungan bersama artis wajar dicontohi wartawan-wartawan zaman sekarang.

Aspalela Abdullah

“Saya kenal Kak Bam sejak tahun 60-an lagi di mana pada era Chatay Keris dulu, arwah sangat rapat dengan suami saya, Raja Ismail kerana pernah menetap di Singapura.

“Pada ketika itu arwah menyertai sebuah kumpulan pancaragam wanita bersama kakak ipar saya, Raja Hamidah di mana arwah merupakan salah seorang penyanyi dan pemuzik kumpulan itu selain pernah berlakon menerusi filem-filem arahan Salleh Ghani.

“Saya mula berjumpa dengan arwah Kak Bam setelah menang pertandingan Bintang Radio pada 1964. Pada ketika itu arwah kak Bam dan suaminya Abi selalu beri publisiti. Dari situ keakraban kami bermula. Saya harus akui tulisan-tulisan dia banyak menaikkan nama saya sehingga dikenali sampai sekarang. Jasa beliau cukup besar buat sesetengah artis.

“Nak bercerita tentang kenangan, saya pasti akan merindui setiap kenangan menyambut hari raya kerana arwah Kak Bam seorang yang sangat meraikan tetamu.

“Masakan lontong dia paling disebut-sebut di kalangan kami artis-artis. Sangat sedap sehingga ada yang nak menyalin resepi. Tapi itulah, selepas ini saya pasti ramai insan seni yang akan rindukan lontong Baiyah Mahmood apatah lagi raya sudah nak dekat.” katanya.

Ali Bakar

“Persahabatan saya bersama Kak Bam hampir 35 tahun di mana bekas isteri saya iaitu Allayarham Sharifah Aini antara artis yang sangat rapat dengan beliau. Malah pada ketika itu saya banyak menganjurkan konsert selain turut mengurus 13 artis dan Kak Bam antara wartawan sentiasa membantu dari aspek memberi publisiti.

“Jasanya cukup besar pada saya dan Ani (panggilan kepada Sharifah Aini). Kak Bam dan suami ibarat ayah dan ibu angkat pada kepada kami. Pantang ada kelapangan dia akan menghubungi kami untuk singgah di rumahnya di Keramat dan kami akan berbual santai.

“Secara peribadi apa yang boleh saya katakan, setiap orang yang mendampingi Kak Bam dan suaminya Abi, orang pasti akan menyenangi mereka. Dialah tempat artis-artis percaya untuk mengadu hal,” ujar Ali.

Nassier Wahab

“Empat hari sebelum meninggal, arwah Kak Bam ada menyebut nak berjumpa saya dengan Datuk Nash. Saya sempat melawat beliau pada ketika itu di hospital namun sudah melihat keadaannya amat lemah.

“Biarpun saya antara generasi baru nak dibandingkan dengan beberapa artis lain yang rapat dengan beliau, namun ingatannya pada nama Nassier Wahab membuatkan saya rasa cukup terharu.

“Mungkin disebabkan saya anak didik kepada Datuk Ahmad Nawab membuatkan nama saya sedikit istimewa dalam ingatan beliau. Malah dalam keadaannya yang sangat uzur ketika itu, dia sempat mengucapkan tahniah kepada saya atas anugerah yang saya terima.

“Dalam pertemuan tersebut, dia juga pesan agar saya tidak tinggal sembahyang selain turut mengingatkan anak dan pengurus peribadi saya agar menjaga saya sebaik mungkin.

“Istimewanya arwah dalam kerjayanya sebagai seorang wartawan hiburan, selain dia seorang yang beretika, dia juga akan bertindak menyejukkan cerita-cerita panas artis dalam gaya penulisannya yang sentiasa sedap dibaca,” kata Nassier.

Bam yang juga bekas penagrang URTV meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat, Kuala Lumpur selepas solat Zuhur pada Selasa.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini