Konsisten beramal, jangan buat pahala ekspress kata NGO (Video)

0
203

Subang – Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia) menggesa masyarakat agar terus konsisten untuk membantu golongan yang memerlukan dan bukan hanya tertumpu ketika bulan Ramadhan.

Timbalan Presiden Sukarelawan Malaysia, Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata sikap prihatin seperti memberikan sumbangan, melakukan aktiviti dan sebagainya wajar diteruskan dari masa ke semasa.

“Alhamdulillah hari ini kita telah berjaya mengumpulkan 3 buah rumah kebajikan untuk program ‘Bawa Anak-anak Yatim Shopping Baju Raya’ dan ini merupakan tahun ke-2 progam ini dilaksanakan oleh Sukarelawan Malaysia dengan kerjasama HESS Exploration and Production Malaysia(Hess).

“Masyarakat kita ini selalunya nak cari pahala ekspress sedangkan amalan yang baik seperti wajar diteruskan sebagai contoh Pusat Jagaan Amal Asyura ini memang tidak dilupakan dan merupakan rumah angkat Sukarelawan Malaysia dan kami akan cuba memberikan bantuan sepanjang tahun,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Jumaat lalu, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil mengetuai 21 orang sukarelawan meraikan kira-kira 200 orang anak-anak yatim untuk membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.

Kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 16 tahun itu merupakan penghuni Rumah Bakti Al-Kausar, Rumah Permata Hatiku dan Pusat Jagaan Amal Asyura yang terletak di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu wakil HESS, Ida Mariana Abdul Rashid berkata pihaknya merasa sangat gembira dapat melibatkan diri dalam program seumpama ini kerana ia memberikan keberkatan dalam rezeki yang diperolehinya.

“Sebenarnya program-program (kebajikan) seperti ini susah nak paksa orang kerana ia perlu datang dari hati manusia itu sendiri.

“Sebagai contoh macam kami, walaupun dari satu segi ia merupakan tuntutan kerja namun di masa yang sama kami melihat (penglibatan dalam program seperti ini) adalah untuk mendapatkan lebih pahala dan berkat dalam bekerja.

Salah seorang sukarelawan, Bavitra Natisegar ketika ditemui menyifatkan program pada petang itu merupakan satu pengalaman yang berharga buat dirinya.

“Seumur hidup saya ini merupakan program yang pertama saya sertai membawa anak-anak yatim shooping dan ia sangat bagus sebab dengan cara ini baru kita dapat faham bagaimana nak layan kerenah anak-anak kecil ini.

“Pada saya program seumpama ini wajar diteruskan dan tidak hanya tertumpu pada hari raya semata-mata mungkin dimasa akan datang kita boleh buat program untuk semua kaum di negara ini,” katanya pula. – MassaTV

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini