Cara BN bela rakyat boleh lawan DoJ, kata Hisham

0
19

Datuk Seri Hishammuddin Hussein yakin cara Barisan Nasional (BN) membela nasib rakyat dengan berkesan akan membantu pihaknya mengetepikan dakwaan digariskan Jabatan Kehakiman (DoJ), Amerika Syarikat dalam tuntutan mereka termasuk yang terbaharu minggu lalu.

Naib Presiden Umno itu berkata, pada akhirnya keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjadi penentu yang segala dakwaan DoJ adalah tidak berasas.

Ditanya sejauh mana dakwaan terbaru DoJ akan memberi kesan kepada Umno dalam menghadapi PRU14, Hishammuddin berkata, rakyat yang akan menentukannya.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata, walaupun terdapat banyak isu berkaitan nasional pada hari ini, masyarakat di peringkat akar umbi mahu melihat nasib mereka terbela.

“Pengundi mahu nasib mereka terbela dan bagi mereka masalah setempat lebih penting, saya yakin dengan cara dekati rakyat yang betul, kami pasti boleh melawan kenyataan DoJ,” kata beliau.

“Orang ramai akan membuat keputusan. Tunggu sehingga PRU,” kata beliau pada sidang akhbar ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

“Saya telah memberitahu semua setiausaha bahagian parti tadi, bahawa pada akhirnya orang ramai mahu melihat masalah mereka diberi perhatian di peringkat akar umbi.

“Isu DoJ adalah di luar kawalan kita, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mendekati mereka (rakyat) di lapangan.”

Katanya, keberkesanan isu yang dipermainkan oleh pihak tertentu dengan menggunakan dakwaan DoJ ini banyak bergantung kepada pendekatan BN mendekati orang ramai.

Beliau kemudian dengan merujuk kepada kawasan sendiri iaitu Semberong sebagai contoh berkata, peneroka Felda lebih mengambil berat tentang gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka.

“Mereka hanya mahu kita menjaga mereka.”

Hishammuddin juga berkata, jika pengundi memutuskan untuk memberi BN mandat untuk memimpin mereka untuk 5 tahun lagi, maka DoJ perlu “berhenti membuat kenyataan” terhadap kerajaan.

“Jika tidak, kita akan menunjukkan, mereka adalah pihak tidak bertanggungjawab dan pada akhirnya kredibiliti DoJ akan terjejas,” katanya.

DoJ memfailkan permohonan merampas lebih banyak aset termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta 2 filem komedi Hollywood, untuk mendapatkan balik sejumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) wang yang dikaitkan dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Permohonan terbaharu itu berkait dengan dakwaan kecurian dana 1MDB, syarikat yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

DoJ dalam siasatannya mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

Antara aset yang menjadi sasaran dalam permohonan difailkan di mahkamah California pada Khamis lalu ialah hak cipta kepada 2 filem komedi, “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey, dan “Daddy’s Home” lakonan Will Ferrell, filem terbitan syarikat anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan berjuta-juta dolar wang milik 1MDB.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini