Tips, melancong ke luar negara dengan bajet RM600

0
59

Sebagai pengembara sudah menjadi kelaziman saya untuk mengembara keluar dari tanah air setiap tahun, setidak-tidaknya sekali setahun pun jadilah! Jadi bila sudah terlalu lama tidak mengembara, saya seperti hilang rasa ceria, kaki ini tidak boleh lagi duduk diam serba gundah gulana.

Kali terakhir saya mengembara ke luar negara pada tahun 2014. Selepas itu saya terpaksa ‘bertapa’ (kerana poket tidak mengizinkan selepas bergelar penganggur) mencari ilham bagaimana untuk meneruskan aktiviti pengembaraan dengan bajet terhad sesuai dengan pendapatan sekarang.

Ingin juga saya mencuba gaya backpakers, tetapi setelah saya selidiki caranya dan membaca pengalaman backpackers dalam dan luar negara, saya terpaksa membatalkan hasrat itu.

Saya mencari kaedah pengembaraan selesa tetapi murah. Backpackers memang murah tetapi saya sedar akan kemampuan diri. Setelah dihitung dan bertanya pada diri sendiri, saya pasti tidak betah tinggal di hostel dan berkongsi bilik air dengan penghuni lain. Ini kerana sudah pasti ramai meluangkan masa yang lama menunggu giliran.

Agak lama saya mencari pengetahuan, mengkaji, memikir baik buruk sesuatu saranan dan benar seperti kata pepatah di mana ada usaha di situ ada kejayaan. Dalam tempoh pencarian, akhirnya saya telah dipertemukan dengan pelbagai cara bagaimana kita boleh mengembara ke negara orang dengan bajet murah.

Rasa menyesal pun ada bila sudah tahu caranya. Sebelum ini saya membelanjakan banyak wang untuk mengembara sedangkan sebenarnya tidak perlu berbuat demikian. Rupa-rupanya lebih murah jika kita sendiri uruskan percutian. Jimat belanja. Tak mengapalah perkara dah lepas tak perlu dikenang lagi jadikan pedoman di hari depan.

Kalau ditanya tidakkah bimbang mengembara secara DIY (do it yourself) ini? Pada saya bila kita mahu mengembara kita mesti yakin dan berani. Tetapi berani pun mesti bertempat. Jangan main sembrono sahaja. Dapatkan ilmu pengetahuan secukupnya. Mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Diakui keberanian saya mungkin kerana berbekalkan pengalaman mengembara sebelum ini. Tetapi yang paling utama pada saya, selepas segala perkara kita uruskan kita perlu bertawakal kepada Allah. Moga segala urusan kita dipermudahkan dan dilindungi dari segala perkara buruk yang tidak diingini.

Sebenarnya percutian ke Nusa Tenggara Barat Indonesia ini amat ringkas perancangannya. Secara tiba-tiba. Suatu hari pada bulan Februari 2017 seorang rakan memberi tahu ada tiket promosi ke sana. Selepas berbincang dengan ahli kumpulan yang lain yang saya namakan “Pengembara Bajet”, kami bersetuju dan terus membeli tiket kapal terbang.

Seterusnya, saya mula mencari cara pengangkutan paling murah selain hotel dua atau tiga bintang yang murah di sana. Saya meninjau tempat-tempat tumpuan pelancong yang berada dalam senarai its a must untuk dilawati dan semua ini mesti menepati perbelanjaan yang telah kami tetapkan.

Akhirnya dengan izin-Nya, pada bulan April 2017 yang lalu kami lapan orang dewasa dan dua kanak-kanak berangkat ke Nusa Tenggara Barat, Indonesia.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Segala kebimbangan yang pada awalnya ada di hati ini, maklumlah kali pertama mengembara secara DIY, terlerai. Kami menikmati percutian menarik dan terkesan di hati. Keindahan pantai-pantai di Nusa Tenggara Barat, Indonesia sememangnya tidak dapat dinafikan terutama sekali Pantai Tanjong Aan yang pada pendapat saya sangatlah cantik dan masih terpelihara dari segala pembangunan yang merubah persekitarannya.

Kami sempat melihat dan memperoleh pengetahuan tentang budaya dan cara hidup masyarakat di sana yang pada saya sangat unik.

Secara peribadi, saya sangat gembira melancong secara bajet murah ke Nusa Tenggara Barat, Indonesia, dan menjadi kenyataan. Selama empat hari tiga malam di sana setiap orang dewasa membelanjakan RM600 untuk penginapan di hotel, kos pengangkutan dan tiket kapal terbang AirAsia pergi balik. Tiket kami beli pada awal bulan Mac 2017 ketika AirAsia membuat promosi besar-besaran tiket tambang murah.

Berikut saya kongsi beberapa tip jika anda ingin melancong ke sini secara pengembara bajet :

  • Jika dapat beli tiket kapal terbang lebih murah maka bajet percutian anda empat hari tiga malam akan kurang dari RM600.
  • Cari hotel baru siap sekitar dua ke tiga tahun. Keadaan hotel dua atau tiga bintang di sana ada yang kurang memuaskan kalau sudah lama. Kecuali anda jenis yang tidak kisah dengan keadaan hotel dan hanya sekadar pulang mandi dan tidur sahaja. Lokasi hotel mesti tidak jauh dengan tempat menarik yang ingin dikunjungi.
  • Bawa pek makanan siap dimasak yang hanya perlu dipanaskan dengan merendam dalam air panas. Anda dapat menjimatkan banyak perbelanjaan makanan.
  • Sila tawar menawar dengan penyedia pengangkutan. Minta sebut harga dengan beberapa penyedia pengangkutan, bandingkan harga.
  • Buat bayaran selepas anda tiba di tempat yang dijanjikan, jangan bayar dahulu atau buat bayaran pendahuluan. Ada kes bayar dahulu kemudian mereka tidak menunaikan janji.
  • Selain speed bot atau dalam bahasa tempatan dikenali sebagai bot laju juga terdapat perkhidmatan bot awam yang lebih murah. Cuma tempoh perjalanan agak lama jika berbanding bot laju. Bot awam dikendalikan pihak pemerintah jika di Malaysia, pihak kerajaan. Begitu juga dengan teksi, lebih murah dari menyewa kenderaan. Anda boleh berjimat di sini.
  • Jika ingin menggunakan teksi, gunakan teksi Blue Bird, selamat dan tidak perlu risau dengan pelbagai kemungkinan tidak diingini.
  • Jangan takut tawar-menawar harga. Saya dapati menaikkan harga sesuka hati seperti sudah menjadi kelaziman mereka.
  • Sekiranya menyewa kenderaan beserta pemandu, bayaran pengangkutan untuk sehari adalah bagi tempoh lapan hingga 10 jam maksima. Lebih dari tempoh itu anda akan akan dikenakan bayaran tambahan.

Semoga tip-tip di atas dapat membantu anda sekiranya berhasrat untuk ke sana secara pengembara bajet DIY.

Sekian, catatan pengembaraan bajet saya ke Nusa Tenggara Barat, Indonesia atau lebih dikenali sebagai Lombok. Selepas pengalaman pertama kali mengembara bajet secara DIY ini sukses, saya pasti akan terus mengembara dengan cara begini pada masa akan datang, InsyaAllah.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini