Pembangkang terdesak guna kuasa asing campuri urusan Malaysia

0
24

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengecam tindakan pembangkang serta penyokong mereka yang tergamak mencemar kedaulatan negara dengan menggunakan kuasa asing bagi mencampuri urusan politik negara.

“Pihak pembangkang sekarang dalam keadaan tenat serta terdesak dan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kelangsungan politik walaupun perbuatan itu diketahui sebagai keji dan kotor,” katanya.

Tambah Salleh, mereka sanggup melakukan perbuatan berkenaan semata-mata ingin mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap pemimpin negara dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat

“Pihak yang tidak bertanggungjawab itu, memanipulasi saman sivil terbaru yang dikemukakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebagai satu senjata politik semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin negara serta kepentingan peribadi.

“Mereka lakukan perkara sedemikian pada Julai tahun lalu tetapi gagal dan mereka mencuba lagi pada tahun ini.

“Saya yakin sungguh mereka akan menggunakan perkara sama pada pilihan raya umum akan datang iaitu mereka membuat manipulasi menggunakan isu ini untuk mencemarkan imej negara dan merosakkan nama baik perdana menteri,” katanya di ibunegara hari ini.

Pada masa yang sama Bendahari UMNO itu menegaskan bahawa pihak Peguam Negara sudah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan yang dibuat menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak terbabit dalam dakwaan aktiviti pengubahan wang haram seperti yang terkandung dalam saman sivil berkenaan dan malahan tidak wujud apa-apa bukti yang berasas untuk ke peringkat mahkamah.

Beliau bagaimanapun berkata masyarakat negara ini seharusnya faham bahawa siasatan oleh DOJ merupakan satu proses biasa di Amerika Syarikat dan ia tidak membuktikan kesahihan sesuatu dakwaan selagi perkara itu tidak diputuskan oleh mahkamah.

“Tetapi ada pihak di Malaysia ini mengambil kesempatan atas laporan DOJ. Sudah tentu tuduhan tidak disiasat jika tidak ada dakwaan daripada orang Malaysia sendiri,” kata Salleh.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini